Play all audios:
KUALA LUMPUR: Sempena penganjuran Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 13 Februari depan, turut dijalankan program
berkonsepkan 'urban village' iaitu WUF9 Village. Program yang akan diadakan di sekitar Medan Pasar dan 2 Hang Kasturi dianjurkan bersama Urbanice Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) dan Think City. Ketua Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim, berkata WUF Village adalah program berbentuk makmal yang akan mempamerkan masa depan kehidupan bandar dan
kota metropolitan. Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan bagi menyemarakkan semangat kepada orang ramai supaya lebih prihatin dalam usaha peremajaan bandar. "WUF9 Village adalah
usaha untuk menonjolkan potensi Kuala Lumpur bukan saja sebagai bandar pesat membangun tetapi juga memenuhi keperluan dari sudut sejarah, kebudayaan, kesenian dan makanan. "Jadi,
sepanjang WUF9 Village berlangsung, pelbagai aktiviti berlangsung seperti menempatkan prototaip kehidupan komunal, ruang perusahaan sosial, ruang kerja bersama, pameran interaktif dan
tayangan dokumentari "Malah, turut disediakan laluan pejalan kaki sepanjang lima kilometer dari Medan Pasar ke KLCC. Ia bagi menggalakkan peserta persidangan menikmati suasana Kuala
Lumpur dan singgah di tempat menarik di sepanjang laluan terbabit," katanya selepas sidang media WUF9 Village yang diadakan di Ruang By Thinkcity, di sini, hari ini. Yang turut hadir,
Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan DBKL, Norzaini Noordin; Pengarah Eksekutif Think City, Hamdan Abdul Majeed dan Pengarah Program Think City,
Dr Neil Khor. Selain itu, sepanjang berlangsungnya WUF9 Village ini, pengunjung dapat menyaksikan projek peremajaan bandar seperti taman kecil, rekaan baharu hentian bas dan aktiviti lukisan
mural. Norliza berkata, untuk memasukkan WUF9 Village dalam kalendar persidangan antarabangsa dwitahunan anjuran Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN HABITAT)
sememangnya menuntut kerja keras pihaknya. "Sebelum menetapkan Medan Pasar sebagai lokasi WUF9 Village, kita ada pilihan lain seperti Bukit Bintang, namun kami berasakan Medan Pasar
sememangnya lokasi strategik. "Malah, Pengarah Eksekutif UN HABITAT, Joan Clos yang datang ke Kuala Lumpur dan melawat Medan Pasar tertarik dengan lokasi ini kerana disifatkan menepati
konsep kehidupan bandar," katanya.