Play all audios:
KUALA LUMPUR: Enggan membiarkan keraguan ramai terhadap kemampuan suaranya menghambat perjalanan karier, bakat baharu, Khai Bahar memilih Syafinaz Selamat menjadi guru vokal. Khai berkata,
mulai minggu depan, dia akan mempelajari teknik kawalan dan lontaran suara dengan Syafinaz yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu itu. "Selain belajar vokal, saya juga mahu
tambah ilmu dalam nota muzik. Selama ini, saya pandai bermain gitar dan keyboard tetapi tak tahu membaca muzik. "Memang jauh perjalanan seni saya dan banyak yang perlu dipelajari,"
katanya kepada BH Online. Khai berkata, tiada tempoh ditetapkan untuk dia mempelajari vokal dengan Syafinaz. "Ia bergantung kepada kemampuan diri. Proses belajar takkan pernah
bernoktah. Saya akan belajar sampai berjaya," katanya yang mencipta populariti melalui perkongsian klip video di laman YouTube dan aplikasi Smule. Mengenai populariti penyanyi
seangkatan seperti Aiman Tino dan Sufian Suhaimi yang melonjak kebelakangan ini, Khai menganggap ia soal rezeki. "Tak timbul soal tergugat atau sebagainya... Bakat itu bersifat
universal. Rezeki masing-masing kita tidak tahu, bukan?" katanya.