Play all audios:
SUBANG JAYA: Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, USJ25, di sini, menggesa pihak berkuasa membawa pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kekecohan di kuil terbabit ke muka
pengadilan. Pengerusinya, SW Ramaji, berkata, pihaknya bersedih dengan pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia akibat parah dalam kejadian rusuhan di
kuil berkenaan ketika bertugas, 27 November lalu “Kami menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa semua pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan. Pihak
berkuasa bukan saja perlu menahan pelaku tetapi juga mencari dalang sebenar di sebalik kejadian ini. “Mereka mesti dihukum kerana tindakan keganasan bukan saja meragut kehidupan seorang
penjawat awam malah menjejaskan semangat perjuangan kita untuk mengekalkan kuil Seafields di lokasi kini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Katanya, keganasan bukan
satu-satunya jalan penyelesaian kepada setiap masalah dan sesiapa yang terbabit dalam kejadian itu perlu disiasat serta dihukum dengan sewajarnya. Pada 27 November lalu, Muhammad Adib parah
selepas dibelasah perusuh ketika cuba memadamkan kebakaran kenderaan di sekitar kuil berkenaan. Muhammad Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam tadi selepas tiga minggu menerima
rawatan di Institut Jantung Negara.